Nik Aziz berkata tujuan Nabi perpindah dari Mekkah ke Madinah kerana hendakkan kerusi, hehehe,,,nyaya kenyataan ini. Beliau juga tidak mahu ulamak lain menegur tentang politik kerana berpendapat orang lain bodoh atau tidak tahu tentang politik. Beliau menuduh Mufti Perak sebagai "gatal mulut". Lantak engkaulah.....
Nik Aziz sifatkan Mufti Perak ‘gatal mulut’
Berucap ketika menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri, di sini hari ini, Nik Abdul Aziz berkata, memperoleh kerusi dalam pilihan raya sememangnya menjadi matlamat Pas kerana tanpanya parti ini tidak dapat membina kerajaan untuk melaksanakan Islam.
“Ada seorang mufti gatal mulut bercakap politik padahal dia tak reti. Dia kata Pas ini hanya nak kerusi sahaja, baik saya nak tanya dia, Nabi Muhammad tinggalkan Mekah ke Madinah, buat apa dia tinggalkan rumah tangga, anak, tengah malam buta lari dari Mekah ke Madinah, nak apa kalau tidak kerana nak kerusi
?
politik dan Islam tidak dapat dipisahkan, justeru ia adalah sebahagian daripada cara hidup manusia. Namun politik yang bagaimana? Ini yang menjadi persoalan. Sebahagian daripada pejuang Islam sendiri kabur dengan makna dan kehendak politik sebenarnya. Mereka terikut-ikut dengan aliran politik barat dan mengharapkan Islam dapat ditegakkan dengan cara itu. Malah mereka marah jika ada pejuang Islam lain yang tidak mahu terjebak dengan perangkap musuh-musuh Islam melalui bidang politik tajaan orang-orang kafir.
Mengapa ini terjadi? Ini disebabkan umat Islam tidak pernah didedahkan kepada satu bentuk politik yang bersih, kuat dan stratejik. Kini sudah tiba masanya kita mendedahkan apa itu politik Rasulullah dan bagaimana matlamat serta perlaksanaannya. Jarang benar ketokohan Rasulullah SAW ditonjolkan dalam bentuk bagaimana baginda berpolitik untuk menaikkan Islam di tengah jahiliah. Bagaimana ia memproses peribadi-peribadi yang dulunya menentang Islam? Ke arah cinta dan sanggup mati kerana Islam. Jika rahsia ini terserlah, ertinya semakin cerahlah jalan ke arah mencontohi Rasulullah sebagai ahli politik.
Politik ialah bagaimana hendak mentadbir manusia mengikut jalan dan matlamat yang telah ditentukan. Politik Islam bercita-cita untuk mendidik dan membawa manusia supaya mempunyai kesedaran, kefahaman, penghayatan dan seterusnya dapat menegakkan kalimatullah di seluruh bidang kehidupan. Ini dibuat melalui saranan, contoh tauladan, memberi pimpinan dan lain-lain cara yang dibolehkan oleh syariat. Tujuannya agar semua manusia terhindar daripada Neraka dan dapat masuk ke dalam Syurga.
Jadi, inilah garis politik Rasulullah. Dan di bidang ini tiada siapa yang dapat menandingi baginda. Rasulullah SAW tidak memimpin secara politik demokrasi, secara diktator atau pun secara autokrasi. Dengan kefahaman yang tinggi tentang jiwa, akal, dan perasaan manusia, Rasulullah SAW telah berjaya memimpin secara fitrah. Maksudnya, Rasulullah SAW membawa manusia ke jalan yang diyakininya tanpa paksaan dan tekanan. Ia mampu memindahkan hasrat yang terpendam dilubuk hatinya menjadi hasrat orang lain. Ertinya politik Rasulullah ialah politik dari hati ke hati.
Allah berfirman:
"Tiada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kesesatan."
Atas dasar ini, Rasulullah SAW berjaya menawan jiwa manusia dan daripada situlah seluruh harta, tenaga dan nyawa pengikut-pengikutnya diserah bulat-bulat untuk Islam.
Di antara fitrah semulajadi manusia ialah mahu pandangannya dihormati dan dihargai. Rasulullah sedar hakikat ini. Oleh itu apabila Rasulullah berhadapan dengan ahli ekonomi seperti Abd Rahman bin Auf, yang minat serta kecenderungannya di bidang perniagaan, beliau memupuk bakat itu supaya terus subur dan berkembang. Akhirnya Abdul Rahman Bin Auf pun menjadi pengusaha yang berjaya.
Bila Rasulullah SAW berhadapan dengan pakar di bidang ketenteraan seperti Khalid Al Walid, maka semangat perwiranya terus disuburkan ke arah jihad fisabilillah, kebalikan daripada semangat Assobiyah (Nasionalisma). Bila baginda berhadapan dengan ahli fikir, pakar strateji dan kepala perancang seperti Umar IbnulKhattab, maka Rasulullah SAW terus mendorong ke arah bagaimana untuk menggunakan kepakaran itu buat kemenangan dan kejayaan Islam. Oleh itu setiap individu di kalangan para sahabat akan rasa dihargai kerana bakat dan kelebihan semulajadinya berperanan dalam perjuangan Islam. Seorang buruh, petani, peniaga, pentadbir dan semua lapisan masyarakat telah disusun oleh Rasulullah SAW dalam satu barisan yang mempunyai kegunaan dan peranan masing-masing. Atas dasar ini, jika ada gerakan Islam yang menumpukan perhatian mereka kepada golongan 'elit' dan 'intelek' sahaja, perjuangan mereka sebenarnya telah menyimpang daripada sirah Rasulullah SAW.!
Mari kita lihat secara dekat bagaimana individu-individu (yang mempunyai berbagai-bagai kepakaran) itu dapat diubah daripada membina jahiliyah (dengan kelebihan-kelebihan itu) kepada membina Islam. Sebelum para sahabat diajak menegakkan Islam melalui bidang masing-masing, Rasulullah terlebih dahulu menanam iman di dalam jiwa mereka. Agar dengan itu mereka akan menjadi orang yang cintakan hidup akherat, rindu dengan syurga, gerun dengan neraka dan kasih sayang sesama Islam. Keadaan daripada penanaman iman dan tauhid di dalam hati individu-individu itu, maka lahirlah peribadi-peribadi yang telah berubah wataknya. Dari watak yang bengis dan kejam kepada kasih sayang dan pemaaf. Daripada seorang yang pembohong, jahil dan mengutamakan hawa nafsu kepada seorang yang jujur, berilmu dan menegakkan hukum Allah.
Tegasnya, Rasulullah SAW telah berjaya menukar mereka yang dulunya menyembah berhala kepada menyembah Allah. Mereka yang dulunya terbiar, hidup dalam perhambaan dan terasuh dengan jalan yang salah oleh para pemimpin jahiliyyah kepada satu cara hidup dan perjuangan di mana bakat semulajadi terus dipupuk dan dibajai.
Daripada penanaman iman ini lahirlah ahli fikir yang agung sedangkan dahulu ia adalah peminum arak. Lahirlah pentadbir-pentadbir yang cekap sedangkan dahulunya mereka adalah golongan bawahan yang tertindas. Individu-individu yang dulunya diperhambakan oleh hawa nafsu kini menjadi panglima perang yang gigih berperang menentang orang kafir dan menjadi abid yang sentiasa berzikir. Inilah hasil siasah Rasulullah SAW.
Soalnya sekarang, bagaimana Rasulullah SAW menanam Iman ke dalam jiwa para sahabat? Bagaimana Rasulullah berjaya menukar watak-watak jahiliyyah kepada peribadi mukmin sekaligus dapat menggunakan bakat-bakat mereka untuk Islam? Jawabnya, melalui dakwah dan tarbiah. Untuk itu Rasulullah SAW datang ke tengah masyarakat dengan menyebarkan ilmu pengetahuan, memberi tunjukajar yang baik, lunak dan menarik, bijaksana, berakhlak serta membina model masyarakat yang disarankan melalui amal makrufat yang memberi menafaat kepada masyarakat.
Dengan ini secara otomatik Islam akan diyakini sebagai cara hidup yang terbaik untuk mengatur kehidupan manusia. Islam nescaya diterima sepenuhnya untuk mengatur dan menguruskan harta, perniagaan sawah ladang, keluarga, kampung halaman, negeri, negara dan dunia seluruhnya.
Apabila Islam diterima untuk mengatur kehidupan maka terbuktilah keindahan dan kegagahannya. Bidang ekonomi ditadbir penuh jujur, cermat, cekap dan mendapat keuntungan yang lumayan . Begitu juga di bidang pertanian, tanaman dan penternakan mendapat hasil yang berkat oleh tangan petani yang beriman. Kampung ditadbir oleh ketua-ketua yang bijaksana sehingga terbinalah kampung seperti mana yang disifatkan oleh Allah Taala di dalam Al Quran:
"Jikalau penduduk-penduduk satu kampung beriman kepada Allah dan bertakwa nescaya sesungguhnya Kami (Allah)akan bukakan ke atas mereka itu keberkatan daripada langit dan bumi."
Begitu juga , Rasulullah SAW berjaya menghasilkan pentadbir-pentadbir peringkat negara sehingga tertegaklah apa yang difirmankan Allah:
"Negara makmur yang mendapat keampunan Tuhan."
Ini lah rahsia politik Rasulullah. Bermula dengan tapak dakwah dan tarbiah yang menanamkan iman didalam hati sanubari setiap individu, sehinggalah keyakinan kepada ALlah, rasul dan hari akherat tergambar dalam sikap dan tindakan. Tahap kedua ialah memupuk bakat dan kelebihan semulajadi yang ada pada individu-individu yang beriman itu dan mula mengatur bidang-bidang yang sesuai supaya bakat mereka terus berperanan. Akhirnya mulalah satu bentuk kehidupan Islam yang menyeluruh dapat dilihat dan dirasakan oleh masyarakat. Kemudian dengan sendirinya Islam akan diakui sebagai satu-satunya agama yang mampu mengatur hidup manusia. Ertinya politik Islam bermula daripada mentadbir diri, keluarga kemudian membina cara hidup Islam di seluruh aspek kehidupan samada di bidang pertanian, perniagaan, perubatan, pendidikan dan akhirnya sampailah ke peringkat mengatur negara dan dunia!
Bentuk politik yang beginilah yang wajib ada dalam gerakan Islam. Dan siapa yang menolaknya, ertinya ia telah memisahkan agama daripada politik. Politik tidak boleh difahami secara dangkal mengikut kefahaman setengah-setengah pihak. Politik bukanlah sekadar mengundi dalam pilihanraya "ala-demokrasi" Barat, bukan sekadar mendaftar sebagai anggota mana-mana pertubuhan politik atau sekadar mahu dan bercita-cita untuk menjadi anggota parlimen dan lain-lain lagi. Jika fahaman-fahaman ini masih berakar umbi dalam kepala kita...ini bererti kefahaman politik kita masih sekular, masih politik yang terpisah dari agama yang pada hakikatnya masih jauh daripada politik Rasulullah SAW.
Secara terus terang kita ingin bertanya, adakah ahli-ahli politik beragama Islam sekarang mengikut jejak politik Rasulullah? Tidak ! Tidak ! Kebanyakan ahli politik pada hari ini mencedok bulat-bulat politik demokrasi Barat yang penuh dengan rebutan kuasa, guling mengguling dan tidak pernah sunyi dengan pertarungan sesama sendiri.
Mengapa ini terjadi? Ini disebabkan politik Barat mempunyai satu matlamat iaitu kuasa. Dengan kuasa mereka yakin dapat mengatur hidup manusia mengikut lunas-lunas ideologi yang mereka yakini.
Kapitalis dahagakan kuasa untuk melagang cara hidup kapitalis, pemuja faham sosialis inginkan kuasa untuk menyusun masyarakat berdasarkan cara hidup sosialis... tetapi Islam tidak menganggap kuasa sebagai satu-satunya jalan untuk menegakkan cara hidup Islam.
Ertinya pejuang Islam tidak perlu mencontohi pejuang Nasionalis, kapitalis, sosialis, kominis yang menganggap kuasa adalah penentu segala-galanya.
Atas dasar ini, politik Rasulullah SAW bukan politik yang bertujuan untuk mendapat kuasa. Rasulullah berjuang terhadap orang kafir bukan hendak meruntuhkan kuasanya, tetapi hendak meruntuhkan akidah dan keyakinan yang karut marut dalam jiwa mereka. Mereka boleh duduk pada tempat masing-masing .
Bila akidah dan keyakinan berubah, berubahlah akhlak, sikap dan pentadbiran. Sejarah telah membuktikan kejayaan politik Rasulullah ini, Khalid Al Walid pada masa jahiliyyah adalah panglima tentera yang menggugat tentera Islam, manakala beliau memeluk Islam, beliau tetap dikekalkan sebagai panglima tentera. Saidina Umar, pada masa sebelum Islam adalah seorang pembesar Quraisy, manakala memeluk Islam, beliau tetap dianggap Rasulullah SAW sebagai pembesar juga. Begitulah juga yang berlaku kepada saudagar besar dan ketua-ketua suku Arab seperti Abdul Rahman bin Auf, Abu Sufian, Amru Al As dan lain-lain lagi. Mereka tetap duduk dan terus berperanan dengan bakat masing-masing...cuma hati dan jiwa sahaja yang telah diubah!
Alangkah baiknya jika siasah Rasulullah SAW ini dicontohi oleh para pejuang Islam sepanjang zaman, iaitu dengan menawan hati bukan menawan kerusi,
mengubah jiwa bukan merampas kuasa.
Malangnya ini tidak berlaku. Bahkan ada pihak yang bertanya, adakah akan berjaya jika kita mengikut siasah Rasulullah? Sampai bila kita harus menunggu untuk menawan hati dan mengubah jiwa manusia? Soalan-soalan ini jelas menunjukkan
sikap gopoh, tidak faham dan lemah jiwa.
Jika orang bertanya, akan berjayakah kalau kita ikut cara Rasulullah berpolitik?
Soalan ini samalah seperti kita bertanya adakah kita akan berjaya jika kita mengikut Rasulullah di bidang perniagaan? Jawabnya, Rasulullah memang berjaya. Tidak ada catitan sejarah yang menunjukkan Rasulullah "bangkrup" dalam perniagaannya, sedangkan selama kita mengikut sistem perniagaan dan ekonomi Barat berapa ramai yang jatuh muflis? Berapa banyak hutang negara kita? Berapa ramai taukeh-taukeh besar bertukar menjadi banduan sekelip mata? Berapa banyak tanah yang dicagar di bank tergadai? Inilah jawapan kepada orang yang mahu mempertahankan sistem ekonomi Barat.
Dan inilah juga yang akan menimpa jika kita terus menafikan sistem politik Rasulullah. Kejayaan Rasulullah di bidang siasah telah jelas dan siapa yang menurut jejak langkahnya, InsyaAllah akan turut berjaya. Tanpa bersusah-susah memerah otak untuk mencari punca krisis politik yang menimpa dunia hari ini, akui sahajalah kerana kita menolak sistem politik Rasulullah.
Sukarno terperangkap dengan permainan politiknya sendiri dan akhirnya mati sebagai tahanan di dalam rumahnya sendiri. Benn Bella digulingkan dan disumbatkan di dalam penjara. Sadat ditembak dan mati terhina di muncung senjata perajuritnya sendiri. Dan ramai lagi pemimpin-pemimpin Islam yang telah, sedang dan akan jatuh terhina akibat berpolitik cara Barat iaitu cara politik yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW.
Malah pejuang-pejuang Islam yang benar-benar ingin menegakkan Islam tetapi masih menerima jalan politik Baratpun, turut terhina dengan kekalahan memanjang.....
Politik berpilihanraya ala-barat bukanlah politik yang dicetuskan oleh sunnah. Cara ini menyeret orang yang tidak tahu menahu dalam pemerintahan seperti orang kampung, para petani, para nelayan ke kancah politik yang penuh tipu daya dan putar belit.....
Memang mereka boleh berhujah dengan kata-kata, "Politic is not dirty, but politicians make it dirty," tetapi kita tidak pernah melihat kejujuran dihargai dalam politik. Memang ada ahli politik yang jujur, tetapi politik bukanlah satu medan yang mana orang jujur boleh bertahan lama!!
Sebab itu kita ingin menyatakan bahawa," Politic is a dirty game, the politicians make it dirtier," Sudah lumrah mengikut falsafah politik barat, matlamat menghalalkan cara. Sedangkan mengikut politik Islam, matlamat yang benar mesti diperjuangkan mengikut jalan yang benar. Dan Islam menolak jalan perjuangan yang salah walaupun cita-cita dan matlamatnya baik.
Inilah politik barat. Satu bidang yang memang ada jurang yang dirancang di hujungnya. Mahu tidak mahu, kita "terpaksa" jatuh ke dalamnya. Oleh itu kita mesti menolak 100% matlamat, kaedah dan apa saja yang berkaitan dengannya. Menerimanya bererti menjemput kehinaan. Bertolak ansur dengannya bererti rela menerima kemusnahan. Sekarang timbul persoalan, siapakah ahli siasah yang sebenarnya?
Ahli siasah yang sebenarnya ialah dia yang dapat merancang, bertindak dan berjuang menegakkan Islam dalam apa keadaan sekalipun. Rasulullah adalah 'Bapa Politik Islam'. Baginda dapat mencari ruang di celah-celah asakan jahilyyah untuk menegakkan Islam. Rencananya dapat menembusi dinding Darul Nadwah, "Parlimen" orang Arab jahiliyyah dan berjaya menukar orang yang pernah duduk di kerusi Darul Nadwah menjadi "orang penting" dalam pemerintahan Islam. Sebab itu bukanlah mustahil jika ada pejuang Islam yang mampu mengubah tokoh-tokoh politik yang sedang berkuasa sekarang kepada cara pemerintahan dan pentadbiran Islam. Sekali lagi, kita katakan....Ini tidak mustahil!!!
Tetapi kenyataan ini akan menimbulkan isu kontravesial terutamanya di kalangan parti-parti politik yang bercorak Islam. Apa yang dilakukan oleh parti-parti ini bukanlah hendak menawan hati lawannya dengan menanam iman dan takutkan Allah, tetapi hendak menawan kedudukan dan kerusi-kerusi kebesaran mereka. Sebab itu tidak hairanlah jika datang tentangan yang hebat dari lawan mereka dan timbul tuduhan-tuduhan daripada masyarakat Islam yang mengatakan mereka inginkan pangkat dan kedudukan, bukan hendak meninggikan syariat Islam.
Lebih-lebih lagi , parti-parti politik ini suka mencari kesalahan parti musuhnya, kemudian ditelanjangkan di khalayak ramai. Ini bukan cara politik Rasulullah dan ini menyimpang terus dari ajaran Islam. Jika kita terus menerus mengamalkan cara ini, percayalah, perjuangan kita tidak akan sampai ke mana, orang semakin hari semakin lari dan benci kepada kita. Akibat daripada ini, kita tuduh masyarakat lari dari Islam, walaupun yang sebenarnya mereka lari daripada kita. Sebaliknya di pihak masyarakat pula , mereka menganggap Islam itu ganas, kasar dan menyusahkan sedangkan yang sebenarnya ahli politik itulah yang bersikap demikian, bukan ajaran Islam!
Pengalaman-pengalaman yang kita telah alami, terutamanya peristiwa-peristiwwa pahit yang melanda masyarakat Islam akibat perebutan kuasa sepatutnya telah lama mengajar kita bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk kembali kepada sistem politik Rasulullah. Masyarakat sepatutnya dapat menilai politik yang mana yang dapat memberi kebahgiaan dan keamanan untuk negara. Apakah kita masih mahu mempertahankan sistem politik yang menimbulkan huru-hara? Atau mulai saat ini kita menerima politik Rasulullah yang telah terbukti berjaya? Terpulanglah kepada masyarakat menimbangkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan