Jumaat, 11 Mac 2011

P RAMLEE DAN SENI TEKPI

Sebalik Senjata Tekpi P Ramlee





Oleh Adam Salleh

MELALUI filem 6 Jahanam, Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersilat dengan menggunakan senjata. Sudah menjadi tradisi dalam filem Melayu, senjata sinonim kalangan pendekar Melayu adalah keris, namun berbeza dalam filem itu, P Ramlee memperkenalkan satu lagi jenis senjata yang dinamakan tekpi.

Dalam 6 Jahanam, P Ramlee memegang watak Tantari, seorang saudagar yang menuntut bela di atas kematian isterinya, Masmera (Nor Azizah) yang dibunuh dan dirogol satu kumpulan Enam Jahanam.

Musuh yang dicari ini ialah Mumbala (Shariff Baboo), Karambit (Ahmad Dadida), Jagindas (Ibrahim Sabtu), Katipang (Kamal Idris), Paragas (Osman Md.Amin) dan Sujamang (Yusof Ali).

Bagi menghapuskan keenam-enam penyangak ini, Tantari membawa senjata tekpi. Ia besi bercabang tiga yang juga dikenali ‘raja segala senjata’ kerana boleh mematikan segala senjata tajam.




Di sebalik kerancakan P Ramlee berpencak dengan tekpi dalam 6 Jahanam, ramai tidak menyedari Seniman Agung itu mendapat ilham memperkenalkan tekpi dalam filem melalui Abdul Sani Zainol.



Bagaikan harimau menyimpan kuku, barangkali ia sesuai dilabelkan pada Abdul Sani, bekas pegawai risik tentera ini, yang mesra disapa cikgu Sani atau Pak Sani di kalangan anak-anak muridnya.

Apakan tidak, berbanding perguruan seni silat lain, yang kian hari kian mencipta populariti, cikgu Sani lebih selesa dengan cara merendah diri tanpa mengeksploit pihak media untuk kepentingan peribadi. Sia-sia hidupnya kini lebih banyak dihabiskan di Kampung Siput, Jalan Weng, Baling, Kedah.

Ketika menemuinya di kampung halamannya tiga hari menjelang Ramadan, Cikgu Sani mengakui ramai tidak sedar permainan tekpi dipamerkan P Ramlee dalam filem 6 Jahanam adalah hasil tunjuk ajarnya.

“Saya berasa terhutang budi pada P Ramlee kerana memperkenalkan tekpi dalam filem. Ramai yang mengkritik Allahyarham ketika itu hingga ada yang mencemuh P Ramlee akan hanyut dengan 6 Jahanam.

“Di sebaliknya, ramai tidak tahu melalui 6 Jahanam P Ramlee menyedarkan orang Melayu betapa ada lagi pusaka bangsa yang harus dibangga dan digeruni musuh iaitu senjata tekpi,” katanya.

Tekpi adalah senjata utama Seni Silat Kuntau Tekpi (SSKT). Ia adalah ilmu mempertahankan diri yang wujud di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Shah iaitu Sultan negeri Kedah pada kurun ke-18.

Ia dipelopori seorang Panglima Istana bernama Panglima Taib bin Wan Hussin. Silat ini diajar hanya di kalangan panglima dan pengawal istana serta hulubalang bagi menentang serangan Siam dan musuh lain ketika itu. Panglima Taib mewariskan ilmu ini kepada anak kandungnya bernama Siti Aminah yang dikenali dengan gelaran ‘Srikandi Kedah’. Silat ini kemudiannya diwarisi oleh anaknya bernama Zainol Abidin Endut dan seterusnya diwarisi pula oleh anaknya iaitu cikgu Sani sendiri.

Perkenalan Cikgu Sani dengan P Ramlee terjalin di Singapura sekitar usianya 25 tahun. Ketika itu Cikgu Sani dihantar ke sana untuk menjalani Kursus Risikan Tentera di Port Canning selama setahun.

“Bila hari cuti, saya ambil peluang berjalan-jalan di Studio Jalan Ampas, maklum saja orang bujang. Di sinilah saya mula mengenali P Ramlee dan beliau tahu keturunan saya ahli dalam tekpi.

“Ini yang dikata takdir Allah, apabila P Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur bertugas di Merdeka Studio, Hulu Klang, saya pula bertugas di Mindef Bahagian Risikan. Kami kerap berjumpa di Setapak.

“Dalam berbual-bual kosong itulah, tiba-tiba P Ramlee berkata lazimnya dalam filem Melayu pendekarnya asyik main keris, pedang atau parang, lalu terlintas di fikiran beliau mengenai tekpi.

“Allahyarham yang saya panggil abang bertanya boleh atau tidak mengajarkannya bermain tekpi jika difilemkan? Ibarat kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan, saya jawab, mengapa tidak,” katanya.

Menurut cikgu Sani, keluhuran budi P Ramlee itu memudahkannya menerima ilmu yang diperturunkan. Cikgu Sani mengambil masa sebulan mengajar P Ramlee cara menangkis dengan menggunakan tekpi.

“Yang saya ingat P Ramlee kata, Sani ajar abang cara tangkis saja, lain kamera trick,” katanya.

Sekalipun cuma satu saja filem Melayu menampilkan tekpi, cikgu Sani bersyukur seni silat itu sempat diperkenalkan oleh Seniman Agung. Berbeza pula dengan seniman Allahyarham A Rahim, sekalipun hasrat beliau memfilemkan tekpi tidak kesampaian, tetapi beliau sempat berguru dengan cikgu Sani.

“Selepas P Ramlee tiada, A Rahim mula berguru dengan saya ketika di Ampang Jaya. Allahyarham mencapai tali pinggang merah bermakna boleh menjadi guru. Malah melalui majalah Pendekar (Mac 1991), A Rahim dicatat sebagai jurulatih veteran perguruan Seni Silat Kuntau Tekpi,” katanya.



Selaku Pengerusi Agung Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia (PSSKTM), cikgu Sani kini menyandarkan perguruan itu pada tiga anaknya yang aktif, Khairunizar A Rani (39) selaku Ketua Jurulatih PSSKTM, Kharirul Fazli, 37, (Jurulatih Kanan PSSKTM) dan Amirul Mukminin, 20.

Selain tiga anaknya itu, hasil perkongsian hidup beliau dengan Latiffah Che Ya (kini Allahyarham), cikgu Sani dikurniakan anak Nooranifah (42) bekas pesilat negara ke Sukan SEA, Norziefahani (34), Khairul Azwadi (31), Noorazlita (28) dan Amira Natasha (14).

Bagi cikgu Sani, sekalipun PSSKTM seperti sepi publisiti namun prestijnya tetap ada berikutan kehadiran Yang Dipertua Pekima (Pertubuhan Kebajikan Islam SeMalaysia), Hassan Adam di majlis khas di Baling, Kedah. Lebih membanggakan cikgu Sani, majlis itu turut dihadiri cucu P Ramlee iaitu Najua (Nadia) Nasir P Ramlee bersama sepupunya Penerbit Nasreen Pictures Sdn Bhd, Nasreen Ngasri (Darling).


(P.S.S.K.T.M) ڤرتوبوهن سني سيلة کونتاو تيکڤي مليسيا


Silat Kuntau Tekpi
Seni Silat Kuntau Tekpi ialah sejenis ilmu mempertahankan diri yang telah lama wujud di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Shah, Sultan negeri Kedah pada kurun ke-18. Ia dipelopori oleh seorang Panglima Istana bernama Panglima Taib Bin Wan Hussin. Silat ini diajar hanya di kalangan panglima dan pengawal istana serta hulubalang bagi menentang serangan Thai dan musuh lain ketika itu.

Panglima Taib telah mewariskan ilmu ini kepada anak kandungnya bernama Siti Aminah yang dikenali dengan gelaran ‘Srikandi Kedah’. Silat ini kemudiannya diwarisi oleh anak Siti Aminah bernama Tuan Haji Zainol Abidin bin Endut dan seterusnya diwarisi pula oleh anak Zainol Abidin iaitu A. Sani.

Senjata utama silat ini dikenali sebagai tekpi iaitu besi bercabang tiga yang juga telah dikenali sebagai "Raja Segala Senjata" yang telah terbukti boleh mematikan segala senjata tajam.

Silat ini mempunyai kaedah buah-buah pukulan serta tangkapan yang kemas. Semua pergerakan dan tangkisan adalah sesuai dengan pergerakan fitrah diri manusia, tidak mengira peringkat umur, mahupun lelaki ataupun perempuan.

Silat ini menitikberatkan aspek mempertahankan diri sekiranya diserang tetapi akan menyerang sekiranya terdesak.






3 ulasan:

  1. Tahniah Dato' artikel yang menarik dan dapat membuka mata ramai orang tentang perjuangan tokoh-tokoh persilatan dan seniman agung P.Ramlee. Semoga sumbangan mereka dapat memberi kesan ynag baik kepada kefahaman orang kita tentang keikhlasan dalam berjuang. P.Ramlee adalah satu-satunya orang seni keturunan melayu yang mempunyai visi dan citarasa yang luar biasa. Begitulah sekiranya, dalam susah-susah mencari dana untuk projek perfilemen, P.Ramlee membuktikan kepada pengkritik2 beliau ketika itu bahawa beliau berjiwa melayu dan sayang kepada anak bangsa. Semasa bertapak di Malaysia beliau telah dipulaukan oleh wartawan tempatan yang diupah khas untuk menjatuhkan beliau. Namun atas dasar cintakan seni dan bangsa, beliau berusaha mendidik anak bangsa melalui mesej-mesej moral yang bertimbun-timbun dalam setiap filem beliau. Sesungguhnya umat melayu amat rindukan filem-filem melayu yang 'berjiwa' seperti kebanyakan filem P.Ramlee. Malangnya sehinnga kini, orang-orang filem kita masih tercari-cari identiti sebenar mereka dan akhirnya hanyut dengan tekaan sendiri. Antara perjuangan yang perlu dikedepankan oleh umat melayu dan orang seni ketika ini ialah usaha untuk mendapatkan semula copyright filem dan lagu P.Ramlee dari tauke besar di Hong Kong dan Singapura. Hasil seni P.Ramlee perlu dihak milik negara-kan kerana sepanjang 60 tahun, setiap sen dari pembelian filem dan lagu P.Ramlee bulat-bulat masuk ke poket pemegang copyright tersebut. Akhirnya seluruh keturunan P.Ramlee hidup susah tidak terbela. Sanggupkah kita melihat hsil warisan bangsa kita diperkecilkan? Sesungguhnya hasil seni P.Ramlee ialah warisan umat melayu dan wakil kepada bangsa kita di persada seni antarabangsa. Bukalah mata, belalah bangsa, sayangi warisan, jangan sampai terbiar dipergunakan. Jangan sampai generasi kita hanyut dalam kerugian sedangkan orang asing memakan hasil orang kita cukup-cukup hingga tidak tertinggal walaupun sisa.

    BalasPadam
  2. Ini antara senjata pahlawan Melayu yg hebat yg masih belum sy pelajari...terasa ruginya diri

    BalasPadam
  3. Saya perhatikan yg kuntau tekpi ni ade persamaan dgn silat cekak, ciri-cirinya yg hanya eksklusif dikalangan golongan istana serta panglima raja juga sama. Ada tak gelanggang di lembah kelang utk silat kuntau tekpi ini?

    BalasPadam