Selasa, 3 April 2012
PERTAHANKAN KESUCIAN ISLAM
Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah bertitah perbuatan yang melanggar sempadan agama Islam dan agama lain wajib dicegah dan dihentikan secara tegas bagi mengelak tercetusnya tragedi buruk di negara ini.“Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan mula dilanggar, malah ada di kalangan bukan Islam yang semakin lantang mencabar perkara-perkara berkaitan Islam melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat dan memperkecilkan akidah umat Islam.“Perkara menyentuh syariat dan akidah Islam yang disuarakan oleh ulama Islam khusus untuk menasihati umat Islam kini dipersoalkan, dipertikaikan dan diperdebatkan secara terbuka oleh individu bukan Islam.“Perbuatan tersebut nyata telah melanggar sempadan dan adat resam beragama secara aman dan damai,” titah Baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-12 di Ipoh, hari ini.Raja Nazrin bertitah, perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan secara terbuka dibimbangi dan bermungkinan menjadi punca tercetusnya tragedi buruk.Oleh itu, perbuatan sedemikian titahnya, wajib dihentikan dan dicegah secara tegas daripada dibenarkan berlaku di negara ini.“Peringatan Beta! Bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan, kelak nanti terbakar diri dan terhangus negeri.“Sebagai anggota badan perundangan dewan ini, Ahli Yang Berhormat hendaklah mencerminkan sebaik contoh dan teladan dalam aspek menghormati kesucian sesuatu agama.“Kesucian agama Islam wajib dipertahankan setiap masa dan kebebasan agama lain wajib pula dihormati dalam ruang parameter dan sempadan masing-masing,” titah baginda lagi.Raja Nazrin bertitah lagi, kerajaan negeri berjaya memberi tumpuan kepada perkara utama lagi strategik dan hasilnya dapat memenuhi unjuran pertumbuhan ekonomi positif.“Hasil negeri terus meningkat iaitu daripada RM793.18 juta pada 2010 kepada RM820.28 juta tahun lalu.“Bajet 2012 mengunjurkan peruntukan pembangunan berjumlah RM865.12 juta bagi mengupayakan kerajaan negeri dan untuk tahun ini, RM321 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan, rekod peruntukan pembangunan paling tinggi yang pernah diluluskan,” titah Baginda.Tegas Baginda, pada tahun lalu, negeri Perak berjaya menarik komitmen pelaburan asing bernilai RM9.94 bilion, iaitu RM1.16 bilion pelaburan domestik manakala bakinya lagi pelaburan langsung asing (FDI).Kerajaan negeri titahnya, akan mengamalkan sifat selektif dengan mengadakan saringan teliti dalam proses memilih pelaburan yang diluluskan bagi mengelak sebarang kontroversi.“Kriteria-kriteria yang wajib dihalusi ketika menimbang kelulusan pelaburan langsung asing ialah pemindahan teknologi tinggi, peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan di peringkat tenaga mahir dan profesional, tidak berintensif buruh yang bergantung pada buruh asing, tahap piawai keselamatan yang tinggi, sifar pencemaran dan tidak sekadar mahu mengambil kesempatan daripada tarif kuasa yang bersubsidi.“Kerajaan Beta jangan sama sekali mengizinkan negeri ini menjadi pilihan terakhir pelabur, dianggap tempat buangan atau dumping ground setelah sesuatu hasrat pelaburan itu tidak diterima di tempat lain.“Kepentingan jangka panjang rakyat Beta dan kelangsungan kelestarian negeri ini tidak harus sama sekali dikompromikan,” titah Raja Nazrin.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan