Apakah engkau benar-benar kenal Nabi mu?
Iaitu kenal secara lahir dan batinnya, jasmani, maknawi dan rohaninya
Atau engkau hanya kenal secara lahir sahaja, tidak lebih dari itu?!
Atau engkau kenal secara rambang sahaja?
Sebenarnya kalau engkau kenallah secara lahir dan batin,
jasmani, rohaniahnya peribadi Nabi mu
Pasti engkau jatuh hati kepadanya.
Engkau akan cinta, engkau akan menyebut selalu namanya
Melalui selawat dan ingatan terhadapnya.
Engkau akan terasa terhutang budi kepadanya
Kerana kedatangannya dan jasanya kepada dunia.
Muhammad Nabi mu SAW, Nabi mu
Dia seorang manusia istimewa, luar biasa yang tiada taranya.
Dia adalah manusia yang paling mulia di sisi Allah Taala.
Mari kita bercerita tentangnya secara ringkas
agar engkau kenal Nabi mu sendiri Siapa dia yang sebenarnya?
Dia adalah Muhammad anak Abdullah, ibunya Aminah.
Bangsa Quraisy dari Bani Hasyim.
Nasabnya hingga ke Nabi Ibrahim.
Dia adalah anak yatim piatu. Seorang anak yang tidak pernah dapat bermanja dengan ibu bapanya seperti orang lain.
Dia lahir daripada keluarga yang miskin
dan dipelihara pula oleh keluarga yang miskin.
Dia adalah makhluk yang pertama dan utama yang paling dicintai oleh Tuhan
Iaitu yang diberi nama Nur Muhammad.
Dari Nur Muhammadlah seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan
Syurga, neraka, dunia, akhirat, para malaikat, Arasy, Kursi, Sirat,
manusia, jin, haiwan, jamadat dan lain-lainnya.
Ertinya kalau bukan kerana Nabi Muhammad SAW,
yang lain tidak akan diwujudkan.
Kalau begitu, rupanya Nabi kita membawa rahmat
zahir dan batin kepada semua makhluk Tuhan.
Dia adalah makhluk yang awal wujud nisbah roh,
yang akhir nisbah jasad dikalangan para nabi.
Dia adalah satu-satunya Nabi yang diisrak dan dimikrajkan.
Mukanya laksana bulan purnama kerana cahayanya yang terang.
Dia hamba Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Tuhan
Kerana itulah di dipanggil Habibullah oleh Allah.
Ketua seluruh para rasul dan para anbiya.
Penghulu seluruh orang yang bertaqwa.
Imam seluruh manusia.
Syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan penutup seluruh syariat.
Orang yang memberi syafaatulkubra di akhirat
dan orang yang pertama masuk syurga
Al Quran kitab yang diturunkan kepadanya paling lengkap
Merupakan mukjizatnya yang kekal dan paling agung.
Tiada siapa yang dapat menirunya.
Dia memiliki ilmu dunia dan akhirat
Sekali pun dia tidak boleh menulis dan membaca.
Nabi kita mempunyai akhlak yang paling mulia yang tiada taranya
Bahkan lebih mulia dari para malaikat
Terutamanya kasih sayangnya kepada manusia begitu terserlah
Tawadhuknya atau merendah diri, pakaian peribadinya
Kerana itulah dia sanggup duduk, makan, minum, tidur, baring dengan fakir miskin.
Menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah.
Tiada seorang pun melihat mukanya melainkan jatuh cinta kepadanya
Bahkan macam orang mabuk tidak boleh melupakannya.
Sangat kasih dan simpati dengan fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda.
Pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya.
Orang yang bergaul dengannya macam-macam dapat dirasa
Adakalanya laksana ibu dan ayah
Adakalanya macam kawan yang membela dan setia
Adakalanya dirasakan guru
Adakalanya bagaikan pemimpin
Adakalanya bagaikan ketua tentera.
Setiap orang yang semajlis dengannya merasakan dapat layanannya yang memuaskan darinya
Kerana akhlaknya yang tinggi dia dapat pujian daripada Tuhannya.
Keberaniannya luar biasa
Dia boleh lalu seorang diri di hadapan musuh-musuhnya
Tidak sedikit pun takut dengan raja-raja.
Setiap orang yang meminta tidak pernah dikecewakan
sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia.
Ibadahnya banyak terutama sembahyang
hingga bengkak-bengkak kakinya kerana terlalu lama berdiri
di hadapan Tuhannya.
Tidak pernah mendoakan musuh-musuhnya dengan kejahatan.
Sangat suka meminta maaf dan memberi maaf kepada sesiapa sahaja.
Dia membalas kejahatan orang dengan kebaikan
Satu perbuatan yang luarbiasa.
Tidak pernah menghina, mencaci dan merendah-rendahkan orang lain.
Sangat pemalu dan merendah diri.
Sangat menerima keuzuran orang
Sangat tahan menerima ujian yang berbagai-bagai keadaan
dan bermacam-macam bentuknya.
Kerana itulah dia dapat menjadi Ketua Ulul Azmi
daripada keseluruhan para rasul alaihimussolatuwassalam.
Dia suka seseorang kerana Allah dan murka juga kerana Allah.
Hatinya begitu jaga, matanya sahaja yang tidur tapi hatinya tidak tidur.
Kerana itulah dia tidur tidak membatalkan wudhuknya
Di dalam hidupnya 74 kali berlaku peperangan
27 kali dia ikut sama atau ikut serta
tapi pelik, tidak pernah dia membunuh musuh-musuhnya walaupun seorang.
Anak-anak didikannya itulah dia para Sahabat hingga dia berkata:
"Sahabat-sahabatku laksana bintang-bintang di langit,
yang mana satu yang dapat kamu ikut, kamu akan dapat petunjuk."
"Para ulama umatku laksana para-para nabi bani israil."
-jolokan ini tidak didapati oleh umat-umat nabi sebelumnya.
Kerana menegakkan kebenaran, pernah dilemparkan dengan najis,
dibaling dengan batu hingga berdarah, dibuang daerah selama 3 tahun,
dikepung, hendak dibunuh, berhijrah meninggalkan tanah air dan mendapat berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan.
Kemuliaannya di sisi Allah Taala begitu ketara dan terserlah
Iaitu namanya dikampilkan dengan nama Tuhannya
Iaitu di dalam dua kalimah syahadah.
Bahkan tidak sah Islam seseorang
kalau tidak diucapkan namanya bersama dengan nama Tuhannya.
Doa yang hendak dikabulkan, awal akhir kenalah menyebut namanya.
Doanya sangat kabul, bahkan siapa yang berdoa bertawassul dengannya lebih diterima doanya.
Siapa yang banyak berselawat dengannya diberi syafaat di Akhirat.
Siapa yang selalu menyebut namanya diturunkan rahmat dan berkat
Mukjizat-mukjizatnya yang terlalu banyak menunjukkan kebenarannya
Tertulis di belikatnya khatamun nubuwah
Peluhnya bak mutiara, wanginya lebih wangi daripada kasturi.
Orang tidak dapat menentang matanya
kerana kehebatannya yang amat terserlah di wajahnya
Terutama musuh-musuhnya, pasti menundukkan pandangannya bila bertembung dengan pandangannya.
Banyak perkara-perkara ghaib yang dibuka oleh Allah Taala kepadanya.
Sehinggakan sebahagian perkara-perkara yang belum terjadi
seperti peristiwa akhir zaman dapat diceritakan.
Terlalu kuat tawakalnya kepada Allah Taala
Hinggakan makanan yang berlebih tidak disimpan di malamnya
Bahkan diberi kepada yang berhak.
Apabila dia buang air, tidak ada kesannya selepas membuangnya.
Lalat tidak pernah hinggap pada badannya.
Kalau dia berpaling, dia berpaling dengan seluruh badannya.
Tidak pernah makan seorang diri melainkan berkawan.
Tidak pernah mencerca makanan
Kalau dia tidak suka, dia tidak makan makanan itu.
Sangat menghormati dan memuliakan tetamunya.
Terlalu menjaga hak-hak jirannya sekalipun orang kafir.
Terlalu mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri
Tidak pernah melaknat sekalipun binatang.
Apa yang diperkatakannya ibarat mutiara
Kerana itulah sangat mempengaruhi orang yang mendengarnya.
Didikan dan pimpinanya sangat berjaya
Di antara kesan didikan dan pimpinannya yang telah berlaku
yang telah dicatat dalam sejarah :
Dapat melahirkan manusia yang sangat mencintai dan menakuti Allah Taala
Bahkan Tuhan menjadi idola mereka.
Dapat menyatu-padukan manusia yang berbagai-bagai etnik, puak, kaum, bangsa dan yang berlainan warna kulit, bahasa dan budaya.
Bahkan dapat menanamkan kasih-sayang satu sama lain di kalangan manusia.
Melahirkan manusia yang begitu taat dan patuh kepada syariat Tuhannya.
Berjaya melahirkan manusia yang tinggi akhlak dan moralnya.
Mampu menjadikan dunia bersih daripada noda dan dosa.
Berjaya menjadikan setiap orang rasa berpuas hati naungan pimpinannya
sekalipun yang bukan Islam.
Mereka merasakan dia adalah pelindung dan penyelamat
kepada seluruh makhluk sekalipun binatang.
Itulah dia Nabi Muhammad Rasulullah SAW
Itulah dia Nabi kita, manusia yang luar biasa,
yang istimewa kejadian dan akhlaknya paling sempurna,
tidak ada tandingannya.
Baru sedikit sahaja kita menceritakan tentangnya, sudah mengkagumkan kita.
Apakah peribadi yang semacam ini kita tidak jatuh hati kepadanya?
Apakah manusia ini kita boleh melupakan begitu sahaja?
Apakah kita tidak terasa,
dia adalah manusia yang terlalu berjasa kepada seluruh manusia?
Apakah kita tidak terasa terhutang budi kepadanya ?
Bahkan patut bersyukur kepadanya sepanjang masa.
Bolehkah kita samakan dia dengan pemimpin-pemimpin yang lain di dunia?
Jauh panggang dari api, macam langit dengan bumi.
Lantaran itulah, orang yang benar-benar kenal Nabinya bersama Tuhannya,
sanggup mati kerananya.
Patut sangatlah dia menjadi idola dan ikutan kita
Agar kita menjadi satu bangsa yang bertuhan, merdeka, bersatu,
berakhlak mulia, bertamadun, berkasih-sayang, bertolong bantu,
berharmoni, bermaruah, bersih dari noda dan dosa.
Allah dan Akhirat menjadi matlamat hidup kita.
Sajak Allahyarham Ust. Ashaari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan