Ahad, 23 Disember 2012

fisabilillah (berkorban pada jalan Allah)


Berjuang adalah kerana Allah untuk Allah, kerana kita adalah hamba-Nya
Berjuang adalah untuk mencintai dan takut akan-Nya
Begitulah sikap setiap hamba kepada Allah
Yang lain adalah alat menuju Allah
Diri manusia adalah alat, bangsa adalah alat, negara adalah alat untuk Allah
Yang lain juga adalah alat seperti harta, tenaga dan lain-lainnya
Oleh itu janganlah berjuang untuk bangsa atau negaraTuhan tertinggal, syirik khafi namanya
Kalau berjuang untuk Allah bangsa dan negara automatik terbela
Tetapi tidak berlaku sebaliknya
Apatah lagi berjuang untuk peribadi, harta dan kedudukan lebih-lebih lagi sia-sia
Bangsa tidak terbela, negara terdedah kepada bahaya, Tuhan tidak termasuk di dalam agenda
Padahal Tuhan adalah segala-galanya, mengapa pula Tuhan tidak diambil kira
Sepatutnya Tuhanlah yang diutamakan
Tuhanlah yang menjadi matlamat hidup kita
Tuhan Khaliq (pencipta), selain Tuhan, adalah dicipta Tuhan
Mana boleh barang ciptaan lebih diutamakan daripada pencipta
Perjuangkan Tuhan, yang lain akan selamat
Perjuangkan yang lain, Tuhan tertinggal
Sepatutnya Tuhan adalah matlamat kita, yang lain adalah alat untuk Tuhan






Infak fisabilillah (berkorban pada jalan Allah) mengikut pengertian syariat ialah berbelanja apa yang ada ke jalan yang diredhai oleh Allah atau berkorban berhabis-habisan apa yang ada, sama ada harta, wang ringgit, tenaga, masa, fikiran hatta nyawa sekalipun semata-mata untuk Allah.

Berkorban atau berbelanja pada jalan Allah ertinya terpaksa kurangkan harta atau susutkan harta, kurang wang ringgit, kurang masa untuk dirinya berehat atau langsung tidak rehat, kurang dapat kasih sayang atau langsung tidak dapat kasih sayang dan bermanja dengan isteri-isteri, suami, anak-anak dan keluarga. Rumah yang besar jadi kecil atau langsung tidak ada rumah.


Patut dapat kasih sayang, sudah tidak dapat lagi. Terpaksa tinggalkan anak-anak, isteri-isteri, suami, ibu ayah, saudara-mara, sahabat-handai, kampung halaman, harta, rumah tangga, tinggal jawatan, kedudukan, degri, menara gading dan tinggal segala-galanya kerana diuntukkan segala-galanya tadi buat mencari keredhaan Allah.

Untuk perbuatan dan sikapnya itu, mereka sanggup menerima apa jua risikonya seperti sanggup menjadi miskin, dihina, difitnah, dikata, dicaci, dimaki, dikecam,ditohmah, diseksa hatta sanggup dibunuh sekalipun, demi semata-mata hendak menunaikan kehendak cinta agungnya, iaitu Allah. Begitulah pengorbanan seseorang itu bilamana Allah sudah dijadikan Cinta Agungnya. Kerana cinta itu memanglah buta walau kepada apa dan siapa sekalipun, sama ada kepada isteri, kepada suami, kekasih, tunang atau kepada Allah.



Orang yang boleh berkorban atau berbelanja berhabis- habisan untuk Allah itu ialah orang yang sangat cinta dan mabuk dengan Allah. Yakni meletakkan Allah itu sebagai Cinta Agungnya mengatasi segala cinta yang lain. Tidak salah rasanya kalau disebutkan mereka ini orang yang gilakan Allah. Hingga kerana-Nya, manusia sanggup susah dan mati. Bahkan kesusahan itu tidak dirasakan susah lagi.

Sebaliknya susah itu dirasakan satu kebahagiaan dan kegembiraan bila dapat ditunaikan. Ianya sebagai hadiah atau pemberian untuk Cinta Agungnya. Itulah kepuasan walaupun dia sendiri susah untuk mendapatkannya. Biasanya seorang kekasih rela berkorban apa saja untuk kekasihnya demi merealisasikan bukti cintanya. Biar apa pun kata nista orang, langsung tidak dipedulikannya. Buktinya, lihatlah pada seorang lelaki yang mencintai seorang perempuan. Kelihatannya macam orang yang hilang pertimbangan. Kerana segala fikirannya, masa, tenaga, harta, wang ringgit dan sebagainya, dikorbankan berhabishabisan untuk cintanya. Hingga melupakan kepentingan diri sendiri. Kalau ada orang yang mengatakan perbuatannya itu bodoh atau sudah gila, dia tidak ambil pusing, macam tidak didengarnya. Dia tidak terasa sakit hati dengan cemuhan-cemuhan, kritikan dan kata nista itu.


Padanya, bila dia dapat berkorban atau berbelanja dengan memberi hadiah atau memberi sesuatu pemberian pada kekasihnya itu, ia satu nikmat, bukan menyusahkannya. Bahkan terasa indah dan bahagia serta seronok pula. Walaupun lahiriahnya kita nampak fizikalnya susah payah bekerja untuk itu, berhempas pulas mengumpulkan duit untuk menyediakan hadiah-hadiah itu.

Pengorbanannya makin hari makin banyak untuk membuktikan kecintaan pada kekasihnya itu. Waktu itu walaupun susah payah berhempas pulas, namun hatinya rasa tenang dan puas. Pengorbanan yang diberi secara berhabis-habisan itulah bukti rangsangan cinta yang telah memuncak di dalam hati. Bandingannya macam orang yang sedang bertunang yang hanya tunggu diijabkabulkan. Inilah masanya dia berkorban habis-habisan. Habislah seluruh tenaga, fizikal, masa, wang ringgit dan harta dikerahkan untuk memikirkan bagaimana hendak memuaskan hati buah hatinya itu.

Tentu dia akan lipatgandakan usaha-usaha lebih daripada biasa, bagi menawan buah hatinya semaksima mungkin. Tentu dia bekerja keras untuk cari duit belanja, bermati-matian untuk buat rumah dan membeli segala kelengkapan isi rumah sebagai persediaan menunggu hari perkahwinan atau hari pertemuan pertama itu. Pendek kata, buat kerja apa pun, semuanya untuk memikirkan cintanya. Itu sahaja. Di waktu itu wang ringgit payah hendak diberikan pada orang lain.

Itu baru gambaran cinta seseorang terhadap sesama makhluk yang tidak ada apa-apa jasa padanya. Sekadar terpikat pada rupa paras dan kecantikannya. Itu pun dia sanggup berkorban bermati-matian untuk membalas cinta kekasihnya. Demi menyenangkan hati orang yang dicintainya. Apatah lagi seorang mukmin yang benar-benar bertaqwa kepada Allah. Tentulah pengorbanannya lebih berganda-ganda lagi dalam semua hal untuk Allah. Pengorbanan itulah bukti rasa cinta pada Allah itu. Yang lain-lainnya sudah jadi kecil. Dia rela susah dan menderita bahkan sanggup berkorban apa saja demi Allah Cinta Agungnya itu.

Di waktu itu dia sudah benar-benar tajalli dengan Allah SWT. Oleh itu dia dapat menyempurnakan urusannya dengan Cinta Agungnya. Dengan membawa rasa cinta di hati yang memuncak inilah seseorang itu dapat berkorban untuk yang dicintainya. Kalau cintanya meminta apa saja sekalipun hak miliknya, akan sanggup dikorbankan. Inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW. Kerana cintanya kepada Allah, Allah pun mengaku dialah kekasih-Nya yang digelar Habibullah. Yang mana segala tenaga, masa, kekayaan sepenuhnya dikorbankan untuk Allah.

Begitulah juga berlaku pada para Sahabat baginda yang lain seperti Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar Al Khattab, Sayidina Usman dan ramai lagi. Sebahagian besar masa, tenaga, harta dan hidupnya dikorbankan untuk Allah. Kalaupun ada untuk kepentingan diri dan keluarga, ianya terlalu sedikit. Sebab itulah Islam cepat berkembang dan cepat menguasai dunia.

Sifat atau watak mereka ini yang paling ketara ialah keghairahannya pada perjuangan Islam dan berkorban untuknya. Yakni menegakkan kalimah Allah pada diri, keluarga, masyarakat dan seluruh sistem hidup. Segala masa, tenaga, fikiran, harta dan keupayaannya dikerahkan pada kerja-kerja menegakkan sistem hidup Islam.

Untuk itu dia sudah jual segala yang ada padanya ke jalan Allah kerana hendak membuktikan cintanya kepada Allah. Kalau begitu bolehlah kita katakan, orang yang berkorban pada jalan Allah kerana orang itu telah mencintai Allah. Ertinya, pengorbanan dan cinta, dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Kalau ada cinta, ada pengorbanan dan kalau ada pengorbanan, ertinya kerana adanya cinta.

Jadi, orang mabuk cinta Allah ini dia akan berkorban. Dengan pengorbanan itu lahirlah kemajuan dan tamadun Islam. Kerana merealisasikan cintanya pada Allah, bermacam-macam pengorbanan yang dapat dibuatnya. Sehingga terlahirnya tamadun itu. Gabungan dari hati-hati yang mabuk cinta ini akan dapat membangunkan jemaah dan negara serta empayar Islam. Inilah buahnya. Kemajuan atau tamadun itu adalah hasil perjuangan dan pengorbanan. Perjuangan dan pengorbanan adalah buah cinta umat Islam kepada Allah.


Contoh buah cinta lahirkan pengorbanan adalah seperti:

-Memberi bantuan kewangan kepada pendakwah-pendakwah.
-Membantu dengan harta untuk menegakkan agama Allah seperti membangunkan sistem pendidikan Islam, sekolah Islam, universiti Islam, membangunkan masjid, surau atau rumah-rumah kebajikan, rumah wakaf, membina kampungkampung Islam, hospital secara Islam, ekonomi Islam, rumah anak-anak yatim, fakir miskin dan janda-janda terbiar, membina jalan raya dan jalan air atau tandas awam, memberi bantuan kewangan kepada orang yang menegakkan ekonomi Islam seperti membangunkan kilang atau projek-projek secara Islam, keluarkan biasiswa, bantu beli kenderaaan untuk kemudahan jemaah Islamiah, alat perhubungan bagi mempercepatkan pergerakan perjuangan Islam dan lain-lain lagi. Membantu tertegaknya pertanian secara Islam, mewakafkan tanah untuk pembangunan semua hal yang tersebut tadi, mencairkan seluruh harta kekayaan sebagai modal untuk membantu dalam semua sudut pembangunan Islam.

Allah SWT yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang pada hamba-hamba-Nya memang sudah sedia mencintai hamba-hamba-Nya. Cuma cinta-Nya itu tidak berbalas. Firman Allah dalam Hadis Qudsi yang bermaksud:

“Aku kasihkan hamba-Ku lebih daripada kasih seorang ibu kepada anaknya.”



Bila seseorang itu mula berkorban, ertinya cinta Allah itu baru mula berbalas. Lagi banyak pengorbanan yang dapat dibuat lagi bertambahlah cinta Allah kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam Hadis Qudsi melalui Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Apabila seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepada-Ku sehasta maka aku mendekatkan diri-Ku kepadanya sedepa. Kalau hamba-Ku datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari.” (Riwayat Bukhari dari Anas)

Ertinya, cinta Allah bertambah dari masa ke masa padanya mengikut pengorbanan yang dibuatnya. Alangkah kasih dan sayangnya Allah kerana cintanya itu sudah berbalas melalui pengorbanan hamba-hamba-Nya tadi. Sehingga Allah berjanji dengan pengorbanan itu seperti yang disebut dalam Al Quran:

Maksudnya: “Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah laksana satu biji yang membuahkan tujuh tangkai. Setiap tangkai mempunyai 100 biji. Allah menggandakan (ganjaran) kepada siapa yang dikehendaki-Nya.” (Al Baqarah: 261)



Maksudnya, Allah memberitahu setiap pengorbanan yang dilakukan oleh hamba-Nya itu, Allah bayar dengan 700 kali ganda. Bahkan sampai peringkat berlipat kali ganda lagi daripada ukuran tadi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Firman- Nya lagi:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berkorban untuk jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.” (At Taubah: 111)

Dalam firman-Nya yang lain, Allah menyeru:

Maksudnya: “Wahai mereka-mereka yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat melepaskan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu hendaklah kamu beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan jiwa raga kamu. Itulah yang paling baik jika kamu orang yang mengetahui.” (As Saf: 10-11)

Dalam firman-Nya yang lain, Allah memberitahu:

Maksudnya: “Tidaklah sama antara mukmin yang tidak berjihad yang tidak ada mempunyai keuzuran dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang yang berjihad dengan harta dan jiwa mereka atas orang yang duduk (tidak berjihad) satu darjat. Kepada masing-masing Allah menjanjikan pahala yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang yang berjihad atas orang yang duduk (tidak berjihad) dengan pahala yang besar.” (An Nisaa’: 95)



Maka dengan pengorbanan itu lahirlah tamadun Islam seperti zaman Rasulullah SAW, Khulafaur Rasyidin dan salafussoleh. Mereka telah pun korbankan segala-galanya untuk membuktikan cinta agung mereka. Rasulullah SAW berkorban selaju angin kencang. Sayidina Abu Bakar habiskan semua hartanya sehingga yang tinggal hanya Allah dan Rasul sahaja. Sayidina Umar Al Khattab tiga perempat hartanya habis dikorbankan. Sayidina Usman Affan pula korbankan separuh daripada hartanya dan begitulah para Sahabat yang lainnya. Walaupun miskin tapi tetap juga berkorban. Jika tidak ada pengorbanan, ertinya cinta itu adalah palsu. Cinta itu mesti dibuktikan dengan pengorbanan.

Di sini dapat difahami bahawa kesan daripada cinta Allah dan Rasulullah serta cintakan hari Akhirat, jadi pendorong kepada seseorang itu sanggup berkorban hingga dapat membangunkan kemajuan dan tamadun Islam. Kalau cinta kepada Allah dan Rasul tidak mendalam atau langsung tidak ada, maka seseorang itu tidak akan sanggup berkorban berhabis-habisan. Mungkin tangannya menghulurkan wang untuk jihad tetapi hatinya tidak ikhlas. Ada kepentingan atau ada udang di sebalik batu. Mungkin kerana ingin undi, ingin dipuji, ingin dibalas jasanya dan sebagainya. Maka lahirlah tamadun yang tidak bercorak Islam.



Bila seseorang itu cintanya kepada Allah dan Rasul tidak mendalam, maka dia tidak akan sanggup berkorban berhabishabisan. Pengorbanan itu tidak wujud darinya. Kesannya, umat Islam tidak akan maju dan tidak dapat melahirkan tamadun Islam. Juga tidak akan hidup bertolong bantu. Tenaga, fikiran, masa, wang ringgit dan harta dihabiskan untuk membangunkan sistem riba, hotel-hotel untuk kemungkaran, disko untuk puaskan nafsu, kilang atau faktori untuk ada peluang melabur atau untuk mendapat saham kosong, membangunkan sekolah atau universiti untuk dapat ilmu yang banyak tetapi niat untuk pangkat dan jawatan, bukan untuk Allah dan Rasul.



Pembangunan atau tamadun begini, walau macam mana pesat sekalipun ia adalah kerana cinta nafsu dan diri sendiri. Ini akan menjadikan manusia itu rosak seperti sombong, gila dunia, rakus, mementingkan diri dan sebagainya. Inilah yang banyak berlaku di dunia hari ini. Kemajuan dan tamadun yang begitu tinggi, tidak dapat menyelamatkan insaniah manusia. Kemajuan yang tidak memberi ketenangan, kebahagiaan, keharmonian dan keamanan. Oleh itu pengorbanan yang dicurahkan itu tidak dianggap pengorbanan. Ia diibaratkan barang buruk yang dihadiahkan kepada kita. Begitulah pengorbanan yang Allah minta tetapi kita balas dengan kejahatan.

Jadi orang yang tidak berkorban itu sebenarnya orang yang menjadikan atau menggunakan harta dan dirinya untuk kepentingan dirinya semata-mata. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka berikan khabar untuk mereka dengan azab yang maha pedih. Pada hari dipanaskan emas perak itu dalam Neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka, ‘Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu’.” (At Taubah: 34-35

Tiada ulasan:

Catat Ulasan