Kisah tentang SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH.
HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE
Sabda
Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople
(kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah
sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan
Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh
Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen
yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman
Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di
zaman Kerajaan Usmaniyah.
Di dalam salah
sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi
saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah
dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila
ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab,
“Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja
yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan
Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi
saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir
800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7
Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.
PENGENALAN
Baginda
dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki –
Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah
bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut
sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda
menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30
tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan
panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan.
Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah
berpendapat Baginda mangkat diracun.
PENDIDIKAN
Baginda
menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang
keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari
keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan
pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan
menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di
dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad
II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia,
telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan
Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu
helah musuh.
KEPERIBADIAN
Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri
. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan
serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan
menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda
seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat
menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan
selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama
2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota
Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya.
Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu
serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang
strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan
dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh
menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di
tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di
mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan
dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina
oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi
kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat
dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan
Constantinople apabila diserang nanti.
Baginda
membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi
membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding
kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat
berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam
bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir
memecah kesunyian alam.
MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah
segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja
Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota
tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota
tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya
rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara Bergerak
Seterusnya
Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari
dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin
berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding
tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada
yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn
direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada
Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung
Kegembiraan
mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan
kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn.
Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas
gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn.
Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal
perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam
Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil
kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya
serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama
berdoa kepada Allah swt.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan
paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan
tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit
pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan
tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.
Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan
selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan
rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang
genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai
tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu
syahid ikutlah aku!”.
Mendengarkan itu, Hasan
Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30
tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak
bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani
anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus
menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu
Akbar.
Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) .
Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda
dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud
syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak
didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda
memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas
bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah
meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun
yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah
meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya
lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini
pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian
daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa
di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan
solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya
duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh
. Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah
sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam
Hadisnya ituPENGIJAZAHAN ILMU HAQ PERCUMA DIKOTA BHARU 24-5 -2014 SABTU
HADIRLAH BERAMAI RAMAI DI KG KRAFTANGAN KOTA BHARU
KELANTAN
HUBUNGI 018 9080949
ATAU 0129877986