PERSATUAN SENI SILAT GAYONG MA’ARIFAT MALAYSIA
(Menjunjung Daulat Raja-raja Melayu ) No. Pen. 1176
NAUNGAN DIRAJA
KDYTM Tengku Mahkota Pahang
Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah
DK.,SSAP.,SIMP.,DK(Terengganu).,DK.,(Johor).,SMPT.,PAT.
OLEH
GURU UTAMA/KETUA
DEWAN PERGURUAN DAN ADAT ISTIADAT
PERSATUAN SENI SILAT GAYONG MA’ARIFAT MALAYSIA (PSSGMM)
TKS DATUK PADUKA DR. AZAM ZULKIFLI AL-QADIRI
MENGENAI
KRISIS BANJIR DI BANGKOK THAILAND AKIBAT SUMPAHAN
KENYATAAN AKHBAR
Terlebih dahulu kami ingin menyampaikan ucapan tahziah kepada Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan seluruh warga Thailand yang berada dalam kesengsaraan ekoran bencana banjir yang sedang melanda. Kenyataan ini adalah berasaskan sumber yang amat dipercayai. Bencana alam dan krisis banjir besar di Thailand bukan sekadar banjir biasa. Ia merupakan suatu SUMPAHAN terhadap rakyat Thai kerana telah melanggar PROTOKOL DAULAT Raja Thai sendiri.
2. Guru Utama beserta Dewan Perguruan dan Adat Istiadat Gayong Ma’arifat menawarkan diri kepada Kerajaan Thai untuk membantu menangani punca sebenar bencana dan krisis banjir ini. Kami telah mendapat rahsia dan jalan penyelesaian kepada bencana tersebut. Sehubungan dengan itu, kami memohon agar pihak Istana dan kerajaan Thailand agar menghubungi Guru Utama PSSGMM secepat mungkin untuk bersama-sama bertindak bagi menamatkan krisis dan bencana alam ini.
3. Mengikut sumber maklumat yang diperolehi, bencana banjir ini tidak akan surut, malah akan merebak ke seluruh Bangkok dalam masa dua hingga tiga bulan yang akan datang. Guru Utama bersama-sama Dewan Perguruan dan Adat Istiadat bersimpati kepada rakyat Thailand kerana ini bakal menimbulkan masalah besar kepada mereka seperti :
I. Kehilangan pendapatan.
II. Ditimpa penyakit berkaitan banjir.
III. Tekanan perasaan yang melampau.
IV. Kemungkinan fenomena bunuh diri.
V. Masalah-masalah lain yang berkaitan dengan krisis selepas bencana.
Oleh itu, kami merayu agar Raja Thai dan Kerajaan Thailand memberi peluang kepada kami dengan menjemput Guru Utama beserta Dewan Perguruan dan Adat Istiadat Gayong Ma’arifat Malaysia untuk ke Thailand dan sama-sama menangani bencana ini melalui kaedah dan cara Gayong Ma’arifat.
4. Guru Utama juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan seluruh rakyat Malaysia terutamanya orang-orang Melayu supaya jangan berpecah-belah kerana ia akan merugikan mereka sendiri sekiranya mereka tidak menyokong barisan kepimpinan kerajaan yang sedia ada. Guru Utama dan Dewan Perguruan dan Adat Istiadat berani mengeluarkan kenyataan bahawa jika orang-orang Melayu terus berpecah selepas PRU ke 13, 14 dan 15, Malaysia akan menjadi sebuah Negara Republik. Sehubungan dengan itu, orang-orang Melayu akan kehilangan segala kuasa dan Ketuanan yang ada sekarang. Amaran keras daripada Dewan Perguruan dan Adat Istiadat Gayong Ma’arifat Malaysia bahawa bencana besar akan melanda orang-orang Melayu dan negara Malaysia tercinta ini pada masa hadapan seandainya peringatan diabaikan.
Terima kasih.
Guru Utama/Ketua
Dewan Perguruan dan Adat Istiadat
Persatuan Seni Silat Gayong Ma’arifat Malaysia.
YTM DATUK PADUKA DR.AZAM ZULKIFLI AL-QADIRI
10 November 2011.
Salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin manyampaikan ucapan takziah kepada Raja, kerajaan dan rakyat Thailand di atas kesengsaraan dan penderitaan yang dialami ekoran bencana banjir dan krisis yang berkaitan dengannya.
Buat kali keduanya saya menyampaikan tawaran Guru Utama bersama-sama Dewan Perguruan dan Adat Istiadat Gayong Ma’arifat untuk membantu menyelesaikan bencana alam tersebut melalui kaedah yang bersifat spiritual. Di samping itu, Guru Utama beserta Dewan Perguruan dan Adat Istiadat Gayong Ma’arifat juga menawarkan diri untuk memulihkan perasaan, fikiran, semangat dan keyakinan rakyat Thailand yang terjejas teruk akibat banjir ini. Bencana alam terburuk yang pernah melanda Thailand setakat ini semestinya meninggalkan trauma yang mendalam kepada rakyatnya.
Menurut sumber yang sangat dipercayai, banjir besar di Thailand tidak akan surut dalam masa yang singkat, malah berkemungkinan besar akan berlarutan untuk tempoh yang panjang. Keadaan ini juga mungkin akan berulang pada masa yang akan datang dalam bentuk bencana yang lain selagi sumpahan ini tidak dibatalkan.
Guru Utama beserta Dewan Perguruan dan Adat Istiadat Gayong Ma’arifat sebenarnya merasa sangat sedih dan bersimpati dengan apa yang menimpa Thailand pada masa ini. Secara jujur, kami boleh membantu daripada dua aspek iaitu:
a) mengatasi dan membatalkan sumpahan (yang didatangkan dalam bentuk banjir besar) secara kerohanian tertinggi
b) membantu memulihkan perasaan, fikiran dan semangat rakyat Thailand yang trauma akibat banjir melalui saluran televisyen utama di Thailand.
Bencana banjir ini tidak akan selesai selagi tidak ditangani melalui kaedah kerohanian atau spiritual. Walau bagaimanapun, hasrat murni kami untuk membantu tidak akan tercapai tanpa undangan dan tajaan secara rasmi daripada Raja, Perdana Menteri atau kerajaan Thailand itu sendiri.
Oleh itu, sekali lagi Guru Utama beserta Dewan Perguruan dan Adat Istiadat Gayong Ma’arifat menyeru agar rakyat Thailand yang prihatin dengan nasib negara sendiri agar bersatu dan mendesak barisan kepimpinan Thailand supaya menjemput Guru Utama beserta Dewan Perguruan dan Adat Istiadat Gayong Ma’arifat ke Thailand bagi berusaha menyelesaikan krisis bencana alam ini. Sekiranya perkara ini dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan, tidak mustahil rakyat Thailand akan terus menderita dalam jangka masa yang panjang.
Guru Utama beserta Dewan Perguruan dan Adat Istiadat Gayong Ma’arifat pada masa yang sama turut mendoakan kesejahteraan semua warga negara Thai agar tidak teruk terjejas akibat bencana banjir ini.
Sekali lagi, saya memohon agar kami dijemput secara rasmi untuk sama-sama berusaha dalam cara kami yang tersendiri bagi menyelesaikan masalah ini.
Sekian, terima kasih.