PILU...Tuan Norhidayah sebak bakal suami meninggal dunia.
PASIR PUTEH: “Dia sempat berjenaka dengan melafazkan akad nikah menerima saya sebagai isteri. Tak sangka impian itu musnah,” kata Tuan Norhidayah Tuan Lah, 24, tunang kepada Muhammad Nur Farhan Razali, 26, yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Bukit Gedombak, Jelor dekat sini, petang semalam.
Kemalangan maut itu menyebabkan impian Muhammad Nur Farhan melangsungkan pernikahan bersama tunangnya itu sempena tarikh lahirnya ke-26 malam tadi, tidak kesampaian.
Kejadian memilukan itu berlaku kira-kira jam 4.10 petang, apabila kereta Proton Satria dipandu Muhammad Nur Farhan bertembung sebuah lori ketika dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Pulau Kues, Kuala Berang, Terengganu menuju ke rumahnya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa.
Pasangan terbabit sepatutnya diijabkabulkan di masjid Kampung Baung malam tadi, namun kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Nur Farhan menyebabkan hasrat itu berkecai.
Menceritakan perbualan terakhirnya, Tuan Norhidayah yang juga lepasan Kolej Komuniti Selayang, Selangor, berkata dia dihubungi Mohd Nurfarhan kira-kira jam 2.30 petang semalam.
“Saya hairan kerana dia (arwah tunang) terlalu ceria dan ghairah untuk bernikah petang tadi (semalam). Ketika berbual melalui telefon, arwah sempat melafazkan ‘Aku terima nikah Tuan Norhayati Tuan Lah dengan mas kahwinnya sebanyak..., tunai’, melalui telefon menyebabkan saya terharu.
“Dia memberitahu akan tiba ke rumah saya di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, kira-kira jam 4 petang untuk mengambil baju persalinan pernikahan,” katanya yang sempat berbual dengan tunangnya itu selama kira-kira 15 minit.
Tuan Norhidayah berkata, tidak menyangka itu perbualan terakhir antara mereka berdua.
“Saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku. Ketika berada di sebuah kedai berdekatan rumah kira-kira jam 5 petang semalam, saya dihubungi keluarga lelaki menyatakan Muhammad Nur Farhan terbabit dalam kemalangan.
“Saya tak percaya sebelum bergegas ke hospital bersama keluarga untuk melihat keadaan sebenar. Walaupun diberitahu mengenai kematiannya, saya seperti sukar menerima kejadian yang berlaku ke atasnya,” katanya yang juga anak bongsu daripada lima beradik.
Tuan Norhidayah berkata, mengikut perancangan, dia akan tinggal bersama bakal suaminya itu di Felcra Pulau Kues, Kuala Berang, Terengganu.
“Sabtu lalu, kami bertemu kerana arwah pulang ke kampung dan dua minggu lalu, dia bercuti sakit selepas terbabit dalam kemalangan di Kecau-Merapoh, namun keadaannya beransur pulih beberapa hari lalu serta dapat memulakan tugas,” katanya.
Katanya, Allahyarham sebelum ini hanya datang merisik bersama keluarganya sebelum menetapkan tarikh pernikahan malam tadi bersempena hari lahirnya ke-26.
“Jika mengikut perancangan, majlis persandingan di rumah saya pada 13 Mac ini, manakala bagi pihak lelaki pula dua hari berikutnya,” katanya.
Bapa mangsa, Razali Salleh, 50, dari Kampung Baung, berkata dia yang sedang sibuk memasang khemah bagi persiapan majlis persandingan anak sulungnya itu terkejut dimaklumkan kemalangan membabitkan anaknya, petang semalam.
Kakitangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Pasir Mas itu berkata, sebaik isterinya, Nur Aini Wan Jaafar, 50, dihubungi polis mengenai kemalangan itu, mereka sekeluarga bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anaknya itu.
“Kebetulan saya sedang bercuti sebab nak buat persiapan persandingan anak.
Ketika dihubungi, saya sedang memasang khemah di rumah menyebabkan saya tergamam selepas isteri memberitahu anak terbabit dalam kemalangan maut,” katanya.
Menurutnya, keadaan arwah anaknya itu tidak berapa sihat kerana baru saja terbabit dalam kemalangan, namun begitu bersemangat untuk dinikahkan malam ini (malam tadi).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan